PELUANG mendekati jiwa anak muda ini mengungkap seribu macam kisah peribadinya. Namun, seberapa banyak persoalan yang ditanya, sebanyak itu juga pesannya agar segala apa yang disembangkan tidak diterjemah dalam sebuah lembaran cerita.
Kata Shamsul Annuar Mohd Baharom atau lebih dikenali sebagai Sam juga vokalis kumpulan Bunkface, biar episod peribadinya terus kekal dalam simpanannya sendiri tanpa perlu dikongsikan bersama khalayak kerana keutamaan dalam lapangan seni adalah untuk memperdagangkan bakat nyanyian yang ada bukannya mempamerkan kisah diri sendiri.
Kronologi yang pernah meletak nama Sam jauh ke atas adalah kisah cintanya bersama pelakon jelita, Juliana Evans. Ketika itu, wajahnya mula banyak menghiasi majalah dan dada akhbar. Namun, entah apa puncanya, hubungan itu berakhir.
Tatkala mengusik persoalan mengenai itu, Sam tersenyum dan menyifatkan apa yang pernah berlaku adalah pengajaran dan pengalaman tanpa perlu diungkit lagi.
“Saya optimis dan terus pandang ke depan. Saya tidak mahu lagi berbicara soal cinta atau apa saja yang berkaitan peribadi kerana ia sedikit-sebanyak memberikan tekanan kepada saya selain mengganggu perjalanan Bunkface. Lihat saja sebelum ini, wajah saya tidak lagi diletak selari dengan perjuangan muzik Bunkface sebaliknya penuh dengan kisah cinta dan peribadi.
“Cukup-cukuplah dulu ketika baru sibuk mengenal rentak. Kini, saya mula belajar untuk menjadi insan yang lebih berhati-hati dan matang untuk menentukan langkah sendiri,” katanya.
Bagaimanapun, kata anak muda berusia 24 tahun ini, kisah cintanya sebelum ini tidak sekali mengundang rasa kesal atau kecewa sebaliknya ia menjadi satu titik permulaan buatnya melihat senario bergelar selebriti dengan lebih luas dan logikal.
“Saya seorang yang berterus terang dan mudah. Saya tidak licik dalam berteka-teki terutama membabitkan soal cinta dan hubungan. Namun, lama-kelamaan saya sedar, sisi peribadi ada kalanya perlu disimpan kemas tanpa meluahkan kepada sesiapa. Lantas peristiwa itu saya jadikan sebagai pengalaman.
“Saya tidak kata menyesal dengan apa yang berlaku. Itulah rencah dan warna menjadi anak seni. Selepas ini apa yang boleh dikatakan, saya inginkan seorang wanita yang memahami dan bukan lagi mereka yang terbabit dalam lapangan yang sama dengan saya. Bukan cuba menyalahkan atau meletak hukum pada hubungan terdahulu sebaliknya itulah keinginan saya sekarang.
“Jujurnya, saya melihat pasangan atau kekasih adalah insan yang tidak henti menyokong dari belakang selain menjadi tempat terbaik meluahkan segala masalah dan perasaan. Mungkin jika datang masanya nanti akan diketahui juga. Saya tidak pernah mencari dan hanya membiarkan ketentuan itu yang datang sendiri.
“Setakat ini, saya lebih selesa sendirian dan meletak sepenuh fokus pada percaturan Bunkface,” katanya yang mengakui enggan kisah cinta mengaburi kariernya lagi.
Mengikuti Sam bersama dua lagi temannya, anggota Bunkface iaitu Paan atau nama sebenarnya Ahmad Farhan Hashim dan Mohd Farouk Jaafar (Youk) bulan lalu ketika mereka bertiga sibuk menjelajah kota Jakarta, Indonesia bagi mengintai peluang menembusi pasaran sana, jelas terlihat kesungguhan anak muda ini dalam memperjuangkan muzik mereka.
Sesekali Sam mengusik sambil berseloroh, mana tahu jika tepat percaturan yang dilakukan, mungkin dirinya bersama Bunkface akan menjadi bintang terkenal di serantau Asia Tenggara nanti.
“Alhamdulillah, Bunkface masih bertahan selepas lima tahun memperjuangkan genre dan imej muzik kami. Siapa sangka apa yang kami persembahkan mendapat tempat dan ruang di hati peminat. Namun, sejauh itu perjalanan kami ia tidak semudah yang disangka sebaliknya pelbagai ranjau dan dugaan yang kami tempuhi bersama.
“Kini selepas berpuas hati dengan apa yang kami capai dan lakukan di industri tempatan, kami beranikan diri untuk melangkah setapak lagi ke depan untuk menyebarkan pengaruh muzik kami di Indonesia. Itulah impian kami bertiga dan saya bersyukur akhirnya jalan itu terbuka untuk kami mencuba nasib. Saya tidak mahu meletak keyakinan tinggi melangit, namun apa yang kami lakukan setakat ini adalah permulaan yang baik.
“Insya-Allah jika ada rezeki, kami akan terbang ‘menjual’ muzik kami di sana pula,” katanya.
Bunkface berada di kota Jakarta selama seminggu November lalu bagi mengadakan persembahan di Hard Rock Cafe, Jakarta di depan wakil syarikat rakaman untuk menilai kemampuan dan kekuatan muzik mereka.
Kemudian, kumpulan yang menyuntik eksperimen melodi dalam jalur muzik alternatif rock ini diundang pula menyerikan festival Urban Fest 2011 di Pasar Seni Ancol, Jakarta sebagai satu-satunya bakat Malaysia yang diberi ruang menghiburkan golongan muda di sana.
Tidak hanya itu, Bunkface turut diundang menjadi tetamu istimewa, sekali gus membuat persembahan di program bual bicara popular di sana, Bukan Empat Mata.
Melihat peluang dan profil seni yang dihidangkan buat mereka, Sam yang juga anak kelahiran Basildon, England hanya mampu mengukir senyuman dan menyifatkan apa yang diberikan itu sebagai sebuah cenderahati indah atas segala usaha yang mereka berikan selama ini.
“Memang saya sendiri terkejut pada awalnya apabila diberitahu mengenai undangan ke Urban Fest dan membuat persembahan di Hard Rock Cafe. Maklumlah sejak dulu, ia bagai satu persepsi dan stigma kononnya bakat kita sukar menembusi tembok industri muzik di Jakarta. Lantas apabila kami diterima baik seperti ini, ia sudah tentu satu kenangan dan pengalaman indah buat kami bertiga.
“Kami ke sana untuk mencuba nasib. Mungkin darah muda berkobar-kobar, kami sentiasa memikirkan soal untuk ke depan dan memberikan yang terbaik buat pencinta muzik. Syukur alhamdulillah peluang ini sampai buat kami. Bayangkan Bunkface berada di Hard Rock Cafe dan membuat persembahan di depan wakil syarikat rakaman.
“Paling menggembirakan kami apabila tiga daripada wakil syarikat rakaman yang hadir sudah mula merisik kami. Sekarang semuanya dalam proses perbincangan dan pertimbangan.
“Kami ingin sekali melebarkan pengaruh kami ke sana dan itu sudah tentu menjadi misi terbaru Bunkface ketika ini,” katanya lagi yang kini sedang sibuk mengumpul material baru untuk album terbaru Bunkface.
PROFIL SAM BUNKFACE
Nama penuh: Shamsul Annuar Mohd Baharom
Tarikh lahir: 11 Disember 1987
Umur: 24 tahun
Tempat lahir: Basildon, England
Keluarga: Anak kedua daripada empat beradik
Kerjaya: Vokalis kumpulan Bunkface dan komposer
Album: Phobia Phoney
Pencapaian: Anugerah Kembara di Anugerah Industri Muzik ke-17, Lagu Rock Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-17 menerusi lagu Situasi, menerima pengiktirafan di Asia Voice Independent Music Awards 2009, Komposer Muda Berbakat di Malam Mesra Badan Pelindung Hak Cipta Muzik (MACP) 2011
SUMBER
No comments:
Post a Comment